Timbalan Ketua Menteri Pertama perlu bertanggung jawab nasib orang Melayu
Sumber : Berita Harian 19 Mac 2008
PULAU PINANG: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pertama baru dilantik Mohammad Fairus Khairuddin diharap bertanggungjawab dalam membela nasib orang Melayu dan masyarakat Islam selepas kerajaan pakatan DAP-PKR mentadbir negeri ini bebas daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata penghapusan 30 peratus kuota Bumiputera dalam pelbagai bidang bermakna orang Melayu terpaksa bersaing dengan kaum lain dalam semua aspek.
“Oleh kerana PKR menyokong tindakan DAP menghapuskan DEB, maka parti itu bertanggungjawab dengan kemusnahan masa depan orang Melayu.”
Tambahnya: “Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai dan orang Melayu yang menyokong DAP dan PKR juga perlu bertanggungjawab terhadap nasib keseluruhan Melayu di Pulau Pinang.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Mohamamd Fairus dari PKR sebagai Timbalan Ketua Menteri pertama dan ADUN Perai, Dr P Ramasamy sebagai Timbalan Ketua Menteri kedua, oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata tindakan kerajaan DAP-PKR Pulau Pinang melantik dua timbalan ketua menteri membuktikan pakatan kedua-dua parti itu menghadapi tekanan daripada penyokong mereka.
“Ketika Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan negeri, kita hanya ada seorang timbalan sahaja dan ketika itu DAP tidak mengiktiraf jawatan timbalan ketua menteri.
“ Saya hairan kenapa sekarang bila mereka berkuasa, mereka terima pula jawatan itu, malahan melantik dua orang dan bukannya satu,” kata beliau.
Lau berkata tindakan melantik Adun dari kalangan kaum India sebagai Timbalan Ketua Menteri buat pertama kali juga memperlihatkan sikap kerajaan DAP-PKR cuba mengambil hati masyarakat India serta menarik sokongan rakyat.
“ Sebenarnya, kuasa Timbalan Ketua Menteri tidak banyak berbeza dengan exco dan di zaman BN dahulu, kita juga ada melantik seorang wakil masyarakat India untuk menganggotai barisan exco (iaitu Datuk P Subbaiyah).”
Beliau juga menegaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang baru ini tidak banyak berbeza daripada kerajaan BN lalu, dan mereka hanya meniru apa yang sudah dilakukan.
Bekas atlit kebangsaan, K Kandiah, 55, berkata beliau gembira dengan pelantikan Ramasamy dan berharap beliau dapat mengatasi masalah dihadapi oleh masyarakat India di negeri ini. — Bernama
No comments:
Post a Comment