Google

Tuesday, March 18, 2008

Separuh anggota Kabinet muka baru

Sumber : Berita Harian, selasa 18 Mac 2008.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinet baru tanpa lapan menteri lama yang menang pada pilihan raya umum lalu, selain melantik dua senator sebagai Menteri.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, separuh daripada anggota pentadbirannya kali ini terdiri daripada muka baru.

Barisan pentadbiran baru Abdullah adalah berasaskan "semangat perkongsian kuasa dan setia kawan Barisan Nasional" yang mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan lebih berkesan.

Abdullah sendiri mengekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan, manakala Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak juga kekal Menteri Pertahanan.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor, kekal Menteri Kewangan II.

Dua yang dilantik sebagai senator ialah Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Amirsham A Aziz, kedua-duanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Zaid, peguam terkemuka serta bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman, manakala Amirsham akan mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Tiga lagi menteri di JPM ialah Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lapan menteri yang tidak tersenarai ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz yang dulunya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Dalam Negeri); Datuk Seri Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar); Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi); dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Pelancongan).

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak disenaraikan selepas beliau meminta supaya tidak dipilih semula bagi menumpukan usaha kepada mengukuhkan kembali MCA.

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn juga tidak dilantik semula.

Keseluruhannya, jumlah anggota pentadbiran Abdullah yang baru berkurangan daripada 90 orang sebelum ini kepada 69 orang saja setelah jawatan Setiausaha Parlimen dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, dengan pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen, menteri dan timbalan menteri perlu bekerja lebih keras.

Kabinet baru juga menyaksikan Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, dilantik menjadi Menteri selepas 11 tahun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, dengan memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987, Datuk Shahrir Samad juga kembali menganggotai jemaah menteri sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menteri baru yang dilantik ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Penerangan), Datuk Shaziman Abu Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi), Datuk Liow Tiong Lai (Kesihatan), Datuk Dr S Subramaniam (Sumber Manusia), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan), Datuk Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Ir Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob, 48, adalah muka baru yang dilantik terus sebagai menteri penuh iaitu memegang portfolio Belia dan Sukan.

Abdullah juga mengumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menjadi Kementerian Dalam Negeri, diketuai bekas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.


Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di JPM diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang akan diketuai Datuk Mohd Shafie Apdal, dulunya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Banyak perubahan dilakukan Abdullah dalam Jemaah Menteri kali ini yang menurutnya bertujuan untuk menjadikan jentera kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. - Bernama

No comments: